Panjang Angan-Angan Musnahkan Orang Beriman

Angan-angan adalah satu keinginan yang tidak kesampaian. Manakala, cita-cita adalah perkara yang diazamkan dengan bersungguh-sungguh dan berkemungkinan boleh dicapai.

Bahaya Panjang Angan-Angan

Angan-angan merupakan keinginan manusia yang terbit dari hati kita. Tidak salah untuk mempunyai angan-angan. Kerana setiap dari kita tidak dapat tidak, mesti punya angan-angan walaupun sedikit. Asalkan angan-angan itu difikirkan logik. Tetapi islam melarang orang yang panjang angan-angan. Bagaimana yang dikatakan panjang angan-angan? Panjang angan-angan atau berangan panjang itu ialah perkara yang melampaui batas syariat yang ditetapkan sehingga kita lupa mengenai kehidupan akhirat yang sudah pasti dan kewajipan agama yang diperintahkan Allah.

Angan-angan ingin hidup seribu tahun lagi merupakan perkara yang dicela oleh Islam. Pernahkah kita terfikir, apakah punca panjang angan-angan? Semuanya berkaitan dengan hati yang terlalu cintakan dunia. Seolah-olah dunia ini tidak akan hancur dan manusia tidak akan mati. Jika ini berlaku, itu adalah tanda-tanda yang menyatakan hati punya pegangan yang amat rapuh. mengenai iman dan kurang amal soleh. Kesannya, hati yang kosong itu akan menjadi lebih mudah diisi dengan sifat-sifat yang tercela atau mazmumah.


Urusan Tertangguh!

Jabir r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bewrmaksud, "Sesungguhnya perkara yang amat bimbang menimpa umatku ialah menurut hawa nafsu dan berangan-angan yang panjang, adapun menurutkan hawa nafsu itu akan menutup segala pintu kebenaran dan panjang angan-angan akan menyebabkan lupa pada akhirat., adapun dunia ini sedang bergerak pergi, sedangkan akhirat pula datang dengan pantas, setiap keduanya iaitu dunia dan akhirat itu mempunyai anak-anak. Ketahuilah mereka yang menjadi anak-anak dunia, sesungguhnya dunia adalah tempat beramal dan melakukan segala kerja., manakala hari akhirat adalah hari perhitungan dan tiada amal." (Hadis Riwayat: Al-Bukhari)


Hadis ini menjelaskan tentang kebimbangan Rasulullah SAW terhadap dua perkara di atas. Jika itulah yang terjadi, maka kita akan dapat lihat pelbagai kemusnahan yang berlaku di muka bumi atau maksiat disebabkan cinta dunia yang semakin menebal. Oleh itu, angan-angan bahawa kita akan hidup 30 tahun lagi adalah satu perkara yang berbahaya dan akan memusnahkan diri kerana kita lalai dengan suruhan Allah dan 'beriman' dengan angan-angan yang tidak diketahui sejauhmana kebenarannya. Tidak hairanlah jika kita mendengar ada yang menyatakan bahawa "masa muda inilah masa untuk bersuka ria. Dah tua nanti barulah bertaubat pergi masjid dan melakukan haji serta umrah." Maka panjang angan-angan inilah yang membuatkan pelbagai urusan tertangguh.

Terfikirkah kita bagaimana pula jika kita tidak sempat bertaubat? Sedarkah kita kematian itu akan datang pada bila-bila masa sahaja? Berkemungkinan ajal kita akan tiba selepas membaca tabloid ini atau selepas meneguk air yang dihidangkan di atas meja. Mati itu merupakan antara rahsia Allah yang kita tidak ketahui. Allah telah memberikan pelbagai petunjuk dan contoh-contoh di dunia ini, agar kita menggunakan akal fikiran yang dikurniakan untuk berfikir.

Penawar Hati

Antara hikmah dirahsiakan kematian itu adalah supaya kita terus taat kepada Allah, tidak menangguhkan segala perintah-Nya dan mengingati mati itu penawar kepada panjang angan-angan. Maka, itulah yang membuatkan kita terus berpijak di bumi yang nyata. 'Penyakit' beribadat ketika umur 'menjelang senja' perlu dihapuskan daripada menjadi satu budaya. Jika sekarang, kelihatan para jemaah yang berada di masjid mahupun surau terdiri daripada mereka yang veteran, maka mulai sekarang penuhkanlah masjid dan surau itu dengan golongan muda.

Kepada para bapa, lazimkanlah membawa anak-anak lelaki ke masjid dan surau untuk berjemaah serta mengikuti kuliah agama di masjid dan surau perlu diimarahkan. Paling elok lagi jika kita memberitahu mereka faedah banyak beramal pada usia muda dan juga hikmah mati itu dirahsiakan....

Captcha Challenge
Reload Image
Type in the verification code above